Monday 20 May 2019

Program NILAM



Secara jujurnya, program galakan membaca dalam kalangan murid-murid di sekolah telah pun dilaksanakan semenjak tahun 1999 lagi. Ia adalah usaha murni Kementerian Pelajaran Malaysia ketika itu.

Program yang dimaksudkan adalah program NILAM. NILAM membawa maksud ‘ Nadi Ilmu Amalan Membaca ‘. Ia mencakupi semua aktiviti galakan membaca yang dijalankan di sekolah yang melibatkan penilaian pembacaan yang berterusan sepanjang tahun yang diakhiri dengan pengiktirafan yang bersesuaian. Program ini telah mula dilaksanakan  dengan rasminya pada tahun 1999 bagi murid tahun satu di sekolah rendah dan tingkatan satu atau peralihan di sekolah menengah, iaitu melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Kementerian Pelajaran Malaysia Bil 13/1998 : Program Membina Tabiat Membaca bertarikh 22 Mei 1998.

Matlamat dan objektif NILAM adalah untuk membina tabiat membaca dalam kalangan murid serta menggalakkan mereka agar terus menjana idea kreatif dan inovatif bagi menyemai tabiat membaca.  Pelaksanaan program NILAM ini memerlukan penglibatan secara menyeluruh daripada warga sekolah sama ada murid-murid mahupun guru-guru.

Terdapat tiga komponen dalam program NILAM iaitu membaca dan merekod bahan bacaan, mengesahkan rekod dan mengumpul data serta memberi pengiktirafan dan ganjaran.  Komponen membaca dan merekod bahan bacaan adalah melibatkan murid sementara komponen  mengesahkan rekod dan mengumpul data serta memberi pengiktirafan dan ganjaran adalah sepenuhnya di bawah tanggungjawab guru.

Semua sekolah perlu memberi pengiktirafan dan ganjaran kepada murid yang telah banyak membaca dan berusaha mengisi rekod bacaan mereka mengikut sistem ganjaran dan pengiktirafan NILAM. Terdapat dua tahap pengiktirafan iaitu tahap JAUHARI dan RAKAN PEMBACA. Tahap pertama yang dikenali sebagai JAUHARI adalah untuk membina kemahiran dan menanam minat membaca sehingga terbina satu tabiat yang mana ia menggalakkan murid menambah bilangan bacaan mereka sama ada di sekolah rendah atau menengah. Mereka akan mendapat pengiktirafan gangsa, perak, emas atau NILAM berdasarkan jumlah bacaan.

Manakala tahap RAKAN PEMBACA (RP) pula mengutamakan aspek kepimpinan dalam aktiviti membaca. Setelah membaca sejumlah 100 buah buku murid layak memasuki tahap RP. Tahap ini memberi penekanan kepada kebolehan murid membimbing dan menarik minat orang lain supaya membaca. Sebagai contoh, aktiviti bercerita , bicara buku dan ulasan buku. Aktiviti-aktiviti seperti ini akan menyumbang markah kepada murid yang berada pada tahap RAKAN PEMBACA. Tahap ini juga akan memberi pengiktirafan gangsa, perak, emas atau NILAM.

Program NILAM yang ditambahbaik ini mula dijalankan secara sepenuhnya mulai sesi persekolahan tahun 2018. Ia merupakan kesinambungan kepada program NILAM sebelum ini. Walau bagaimanapun, NILAM yang ditambahbaik ini lebih mementingkan kualiti pembacaan berbanding kualiti bahan yang dibaca. Ia merupakan gabungan aktiviti pembacaan (kuantiti dan kualiti bahan) dan juga aktiviti-aktiviti pengayaan selepas pembacaan (peningkatan pengetahuan dan kemahiran selepas pembacaan) yang mana ia berfokuskan kepada aspek kualiti selepas pembacaan.

Objektif NILAM yang ditambahbaik adalah untuk melestarikan budaya pembacaan yang berkualiti sepanjang hayat dalam kalangan murid-murid, menyediakan murid-murid yang dapat menjawab soalan yang menguji keupayaan menaakul, membuat refleksi dan menilai melalui aktiviti pengayaan. Secara umumnya, ia menggalakkan penglibatan semua warga sekolah/ masyarakat/ komuniti setempat/ pertubuhan kerajaan dan bukan kerajaan  dalam pelaksanaan program serta pembinaan tabiat membaca dalam kalangan murid-murid.

No comments:

Post a Comment